Latar Belakang Yayasan Budiman

Atas hasrat segolongan bekas pelajar UiTM untuk menzahirkan rasa kesyukuran dan terhutang budi kepada institusi ini yang telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara, maka pada tanggal 25 Ogos 1999 tertubuhlah sebuah Yayasan yang kini dikenali sebagai Yayasan Budiman UiTM (YBUiTM).

Yayasan ini telah ditubuhkan dengan matlamat antaranya mahu memastikan manifestasi kesyukuran yang tersirat ini dapat dibuat menerusi aktiviti-aktiviti amal untuk kebajikan dan manfaat pelajar-pelajar UiTM yang memerlukan, juga untuk UiTM sendiri dan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik.

Yayasan Budiman UiTM telah menetapkan agenda utamanya seperti berikut:

    1. Mengutip dan mengurus dana untuk pembelajaran dan pendidikan, menaik taraf dan menolong golongan miskin serta badan amal.
    2. Memperkukuh dan memangkinkan jaringan ahli-ahli Alumni

Sejajar dengan matlamat dan agenda utama ini, pada tanggal 21 April 2000, Dana Yayasan Budiman telah dilancarkan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ketika itu). Dana yang berfungsi di bawah Pengurusan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan, akan menerima sumbangan dalam bentuk kewangan, kebendaan, kepakaran profesional dan sebagainya.

Semenjak 2005, Yayasan Budiman UiTM telah mengeluarkan Dermasiswa Yayasan Budiman UiTM kepada siswa- siswi yang menuntut di UiTM dalam pelbagai jurusan di peringkat Ijazah dan Sarjana. Pihak Yayasan berhasrat untuk menambah bilangan dermasiswa untuk terus membantu lebih ramai lagi siswa-siswi UiTM yang memerlukan bantuan kewangan bagi melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana.

Selain daripada itu, bermula dari tahun 2004, Yayasan Budiman UiTM juga telah menyediakan peruntukan Anugerah Pingat Emas Yayasan Budiman UiTM kepada pelajar terbaik UiTM bersempena dengan Istiadat Konvokesyen UiTM.